Peraturan di Perpustakaan
WAKTU PERPUSTAKAAN
DIBUKA
- PSS termasuk Perpustakaan, Makmal ICT, Bilik SAL,
Bilik BBM dan Bilik Tayangan dibuka dari 7.30 pagi hingga 3.30
petang hari persekolahan untuk penggunaan kelas.
- Perpustakaan dibuka pada waktu rehat untuk peminjaman
dan pemulangan bahan, membuat rujukan dan bacaan ringan.
- Perpustakaan dibuka pada setiap hari Jumaat dari
8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari untuk peminjaman dan pemulangan bahan,
rujukan dan bacaan ringan.
- Perpustakaan dibuka pada hari cuti persekolahan Ahad
hingga Khamis mengikut permintaan dan kesediaan petugas dari 8.30 pagi
hingga 12.30 tengah hari.
KEAHLIAN
- Semua murid, guru dan staff adalah ahli Pusat Sumber Sekolah.
- Setiap ahli akan dibekalkan dengan Kad Ahli dan
diberi nombor ahli.
- Sebarang peminjaman buku tidak dibenarkan tanpa
kad ahli.
- Setiap peminjaman mesti menggunakan kad ahli sendiri
dan tidak boleh berpindah milik.
- Kad ahli yang rosak atau hilang boleh diganti dengan
kad ahli yang baru dengan kos RM 10.00.
- Perubahan peraturan keahlian akan dimaklumkan dari
semasa ke semasa mengikut keperluan semasa.
PEMINJAMAN BAHAN
- Setiap ahli hanya dibenarkan meminjam dua buah buku
sahaja dalam satu masa untuk tempoh tiga hari persekolahan.
- Ahli tidak dibenar meminjam buku bagi pihak ahli lain.
- Semua peminjam bertanggungjawab menjaga kebersihan dan
keselamatan buku yang dipinjam daripada hilang, koyak, diconteng, dsb.
- Sekiranya buku yang dipinjam didapati terkoyak, rosak
atau kotor dengan tidak sengaja, jangan cuba membaikinya sendiri.
Sebaliknya kembalikan buku berkenaan dengan bilangan helaian yang cukup
dan maklumkan kepada Penyelaras PSS / Guru PSS / Pengawas PSS.
- Buku rujukan, majalah, jurnal, risalah, dll. tidak
boleh dipinjam keluar daripada perpustakaan.
- Ahli hanya dibenarkan meminjam buku berbintik merah
(red spot book) untuk tempoh satu jam dan hanya boleh dirujuk
di dalam bilik perpustakaan sahaja (tidak boleh dibawa keluar).
- Peminjaman buku berbintik merah hendaklah direkod dalam
'Buku Rekod Pinjaman Terhad'.
- Peminjam boleh memperbaharui tarikh pinjaman yang tamat
tempoh sekiranya buku tersebut tiada tempahan daripada ahli yang
lain.
- Semua bahan boleh dibawa keluar dari bilik perpustakaan
hanya setelah mendapat kebenaran daripada Penyelaras PSS / Guru PSS/
Pengawas PSS dan merekodkannya dalam buku rekod sirkulasi.
PEMULANGAN BAHAN
- Buku yang dipinjam hendaklah dipulangkan sebelum
atau selewat-lewatnya pada tarikh yang ditetapkan (rujuk pada tarikh di
slip tarikh pulang buku).
- Peminjam yang lewat memulangkan buku pada tarikh yang
ditetapkan akan dimaklumkan melalui pelbagai media, misalnya,
diperhimpunan mingguan sekolah, radio sekolah, dsb.
- Buku yang lewat dipulangkan oleh peminjam akan dikenakan
kompaun sebanyak 50 sen satu hari tetapi tidak melebihi harga buku
tersebut.
- Peminjam adalah bertanggungjawab ke atas setiap buku
yang dipinjam. Sekiranya buku tersebut didapati hilang semasa
dalam tempoh peminjaman, peminjam berkenaan dikehendaki menggantikan buku
lain yang berjudul sama atau membayar ganti rugi sejumlah harga buku
berkenaan.
- Peraturan-peraturan lain yang berkaitan dengan
pemulangan buku akan dimaklumkan oleh Penyelaras PSS / Pengawas PSS dari
semasa ke semasa mengikut keperluan.
CARA MEMINJAM
BUKU
- Kenal pasti judul atau perkara buku yang hendak
dipinjam.
- Kesan maklumat tersebut melalui sistem automasi.
- Dengan maklumat yang diperoleh, sila kesan buku
berkenaan di rak buku berkaitan.
- Ambil buku tersebut di rak dan keluarkan kad buku
dari kocek buku.
- Tulis nama dan tingkatan anda belajar pada kad buku
tersebut.
- Serahkan buku, kad buku dan kad
keahlian kepada Pengawas PSS di Kaunter Edaran (Bahagian Peminjaman)
untuk diproses.
- Terima buku yang siap diproses dan serahkan kepada
Pengawas PSS di pintu keluar untuk disemak.
- Anda dibenarkan membawa keluar buku berkenaan.
PENGGUNAAN
PERPUSTAKAAN SEMASA WAKTU BELAJAR
- Guru dilarang daripada membawa murid kelasnya ke
perpustakaan pada waktu rehat persekolahan.
- Guru hendaklah sentiasa bersama muridnya semasa berada
di perpustakaan.
- Hanya satu kelas sahaja dibenarkan berada di
perpustakaan pada satu masa.
- Satu waktu mata pelajaran bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris diperuntukkan bagi setiap kelas untuk aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di perpustakaan.
- Pengajaran secara terancang hendaklah dilaksanakan
semasa berada di perpustakaan.
- Guru-Guru mata pelajaran lain boleh membuat tempahan
slot waktu yang diperlukan untuk aktiviti P & P di perpustakaan.
PERATURAN-PERATURAN AM
- Pengguna digalakkan memakai pakaian yang sesuai ketika
berada di perpustakaan. Pakaian jeans, seluar pendek, skirt, pakaian
seksi, selipar, dan pakaian-pakaian lain yang sejenis dengannya tidak
dibenarkan sama sekali.
- Pengguna hanya dibenarkan membawa masuk alat tulis dan
buku tulis sahaja ke dalam perpustakaan. Manakala beg, fail peribadi, dan
bahan-bahan yang mencurigakan hendaklah diletak di atas para/rak di luar
bilik perpustakaan.
- Bahan-bahan di perpustakaan tidak dibenarkan dibawa
keluar dari perpustakaan sebelum ia direkod oleh Penyelaras PSS / Guru PSS
/ Pengawas PSS.
- Membawa keluar bahan-bahan perpustakaan tanpa kebenaran
adalah satu kesalahan. Murid yang terlibat akan dihukum.
- Pengguna dilarang daripada makan dan minum
di dalam perpustakaan.
- Berbincang, berbual, berkelakuan sumbang dan aktiviti-aktiviti lain yang boleh mengganggu
ketenteraman dan keharmonian pengguna lain adalah dilarang.
- Pengguna dikehendaki menjaga kebersihan dan keselamatan
bahan-bahan di perpustakaan.
- Pengguna hendaklah meletak kembali buku yang telah
dibaca/dirujuk ke rak asal buku tersebut. Sekiranya tidak pasti tempatnya,
sila letakkan di troley yang di sediakan atau minta nasihat daripada
Pengawas PSS yang bertugas.
- Pengguna hendaklah menghormati dan mematuhi arahan
daripada Pengawas PSS yang sedang bertugas.
- Pengguna dilarang daripada berbuat bising atau mesti
dalam keadaan senyap.
- Pengguna diminta menarik kerusi dengan perlahan untuk
mengelak daripada mengganggu pengguna lain.
- Pengguna diminta merapatkan kembali kerusi yang
digunakan ke meja sebelum beredar.
- Pengguna hendaklah memastikan tangan dalam keadaan
bersih semasa berada di dalam perpustakaan supaya bahan-bahan tersebut
selamat daripada kekotoran.
- Tarik buku atau bahan-bahan lain daripada rak dengan
perlahan untuk mengelak bahan-bahan tersebut daripada rosak, koyak, dll.
- Semasa keluar dari perpustakaan, pengguna dikehendaki
mempamerkan bahan-bahan yang dibawa keluar untuk pemeriksaan oleh Pengawas
PSS.
KETENTERAMAN SEMASA DI
PERPUSTAKAAN
- Pengguna hendaklah merapatkan semula kerusi yang
telah digunakan ke meja dalam keadaan senyap sebelum meninggalkan
perpustakaan.
- Murid dikehendaki beratur ketika hendak masuk, keluar
atau ketika ingin meminjam dan memulang buku.
- Semua murid dikehendaki keluar segera daripada
perpustakaan dalam keadaan beratur dan senyap apabila loceng penamat
dibunyikan.
- Murid tidak dibenarkan berdiri, berbuat bising atau
melakukan sesuatu perbuatan yang boleh mengganggu pengguna di luar
perpustakaan sepanjang tempoh perpustakaan dibuka.
LAIN-LAIN
- Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua pengguna pada
setiap masa dan keadaan.
- Semua peraturan yang digubal ini adalah tertakluk
kepada pindaan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keadaan.
Comments